Sunday, June 21, 2009

Makan tengahari & shoping di Ben Than Market

( Saya sambung perihal makan tengahari dan shoping di Ben Than Market Saigon,Vietnam)....

Makan tengahari bolehlah di restoran halal yang banyak juga terdapat di HCM City ni. Makanan di sini memang mahal, maklumlah walau pun bahan tempatan tetapi rempah ratus masakan didatangkan dari Malaysia, dan kalau ada di pasar tempatan pun mahal juga harganya kerana HCM City ini bandar besar dan ramai para pelancong asing. Biasalah.....Sebelah malam kami makan masak nasi di bilik, dan beli sahaja lauk di restoran...tel je ke restoran dan dia boleh hantar terus ke hotel kita panas-panas.
Kami berenam menaiki teksi sebanyak 10,000 dong( RM2.00) ke Restoran Halal in Saigon, berhadapan dengan Masjid ( lupa namanya) tetapi beberapa langkah saja dari Hotel .....lima bintang. Restoran ini baru sahaja dibuka, belum sampai setahun umurnya. Diusahakan oleh seorang rakyat Malaysia keturunan Sinhalese(Ceylon) yang telah merantau dibeberapa buah negara asing. Beliau adalah seorang Doktor Perubatan tetapi tidak mengamalkan profession sebagai doktor sebaliknya hanya sebagai juru perunding farmasi, dan suaminya ada membuka kedai farmasi di Malaysia. Beliau membawa rempah ratus masakan dari Malaysia sebulan sekali, dan beberapa orang tukang masak dari Malaysia. Menu yang disediakan memang sedap-sedap saperti nasi lemak, roti canai, kueh mueh Melayu Malaysia yang disediakan di sebelah pagi ( sarapan). Sebelah tengahari ada disediakan berbagai menu masakan Melayu dan Vietnam dengan harga yang agak sederhana. OKlah makan di perantauan memang mahal sedikit. Tidak jauh dari situ terdapat satu lagi restoran halal Restoran Four Session yang juga diusahakan oleh pengusaha dari Malaysia, atau pun Bombay Restoran ( jarak 4 kedai dari Restoran Halal in Saigon selain dari Restoran Shamsudin yang agak jauh. Di kawasan masjid itu pun ada kedai makan yang diusahakan oleh orang Melayu Campa dari jamaah masjid tersebut.
Lepas je makan tengahari,kami bertolak balik ke Pasar Bin Thanh untuk shoping. Ha bermulalah fasa ke 3 dan seterusnya `melebur RM' di Vietnam terutamanya kaum wanita memang semuanya dibeli: kain baju, eksesori badan, beg tangan, kain alas meja, ....... hai tak payahlah disebuat satu persatu, memang tak muat ruangan ini nanti. Walaubagaimana pun biar mereka tu puas, kerana tujuan utama ke HCM C ini pun nak shopping, biar mereka mencapai matlamatnya. Untuk kaum kali-laki? Setakat T Shirt atau pun kasut `made in Vietnam' ( itu pun kena beli di satau lorong khas untuk kasut kulit laki-laki yang murah harganya, lorong ini terletak di belakang stesyen bas berhadapan dengan pasar BenThan - saya seronok pilih kasut disini, dan tidak jauh dari situ ada pulak pasar/kedai2 antik yang begitu banyak). Satu petang kami habiskan di pasar ini, dan esok ada satu hari lagi untuk mencari bahan yang tidak atau belum dijumpai lagi. Saya suka tengok buah-buahan di Vietnam yang tidak jauh bezanya dengan buah-buahan di Malaysia: ada manggis(begitu banyak),mangga, laichi, ciku(sebesar 2x penumbuk tangan kita seberat 1 kilo sebiji - besar kan?), nona, betik,pisang.......dan banyak lagi - dijual ditepi jalan(peraih) atau dalam pasar Ben Than pun ada.
Pasar BenThan sebenarnya adalah pasar serbanika: berbagai item dijual disini; selain dari kain baju, terdapat juga kedai makan, buah-buahan, cenderamata, kraftangan, kedai emas dan batu jed, dll. Di bahagian belakang terdapat juga pasar basah yang menjual sayuran, ikan, daging, beras dan keperluan dapur lainnya, semuanya ada dll. Bab tu kalau bawa periuk boleh masak sendiri dalam bilik ( senyap2lah....setakat masak sayur dan rebus telor atau buat sup sayur/telor boleh sangat). Beras Vietnam banyak terjual di kedai.....tapi harganya tidak jauh beza dengan di tempat kita.
( ok saya berhenti dulu disini......ada masa sambung lagi...).

Friday, June 19, 2009

Lawatan Ke Istana Penyatuan dan Membeli Belah...

Ya, saya sambung coretan saya di HCM City Vietnam.................

Setelah selesai melawat ke Central Post Office kami beredar ke taman di hadapan Bangunan Notre Dam untuk mengambil gambar. Pas tu panggil sahaja teksi ( sebenarnya dpsepanjang kami berada di HCM City kami hanya menggunakan pengangkutan teksi yang begitu banyak dan agak effisent kerana kita menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan: teksi ada di mana-mana dan tambangnya murah, kereta jenis baru semuanya: toyota, datsun, inova dsb - cuma satu sahaja kekuranganya? Sebahagian besar pemandu tidak faseh berbahasa Inggeris oleh itu mereka dilihat sebagai tidak mesra pelancong - sukar untuk berkomunikasi)
Kami tiba di Reunification Palace iaitu bekas istana kediaman Presiden Zaman Vietnam Selatan sebelum jatuh ke tangan Vietcong. Bayaran masuk sebanyak 15,000 dong ( lebih kurang RM3/-) seorang dikenakan di pintu masuk. Semua pelawat terlebih dahulu melalui alat pengimbas untuk menentukan tiada barang berbahaya saperti senjata dan sebagainya di bawa masuk. Setelah Vietcong berjaya menawan Vietnam Selatan ( demokrasi) yang dibantu oleh tentera Amerika, maka Vietnam Selatan di satukan dengan Vietnam Utara ( kominis), dan istana Presiden Vietnam Selatan ini ditukar menjadi muzium dengan nama ` Reunification Palace ' ( Istana Penyatuan) yang menyimpan segala artifak zaman pemerintahan Vietnam Selatan. Kesemua bekas peninggalan Presiden di zaman itu dikekalkan saperti sedia kala termasuk ruangan perlindungan dan pejabat Presiden bawah tanah. Mungkin juga ada laluan sulit atau terowong bawah tanah yang menghubungkan istana ini dengan kawasan lain untuk menyelamatkan diri. Istana ini dibina di atas bukit setinggi 5 tingkat termasuk 2 tingkat yang ada di bawah tanah. Penat juga untuk melawat keseluruhan bahagian kerana terpaksa turun naik menggunakan tangga. Tidak ada lif boleh digunakan. Dibahagian paling atas(bumbung) terdapat kawasan lapang tempat pendaratan helikopter. Disinilah tempat Presiden terakhir Vietnam Selatan Lt Gen Ngu Yin Kao Kee menyelamatkan diri dengan menaiki helikopter sejurus sebelum istana itu ditawan oleh tentera Vietcong & Vietnam Utara. Dua kereta kebal yang merempoh pagar istana dan memasukki kawasan istana ada dipamerkan di bahagian luar muzium ini. Oh sungguh trajis akan sejarahnya.......
Setelah kami penat berjalan-jalan disekitar istana tersebut, lebih kurang jam 11.00 pagi kami bergerak dengan teksi ke kawasan Blue Mosque, satu kawasan penempatan orang Melayu Champa di HCM City ini. Kami terpaksa membayar hampir RM30.00 kerana agak jauh iaitu hala ke arah lapangan terbang antarabangsa HCM. Tujuan kami ke sini ialah untuk membeli telekong sembahyang, dan aksesori wanita saperti tudung, baju kurung melayu dan seumpamanya. Taukeh kedai iadalah seorang wanita bernama Hajah Bashirah yang berniaga di rumah kediaman 3 tingkat. Rumah ini dibina begitu rapat antara satu dengan lain, sempit dan memang tidak selesa, tetapi itulah hakikat hidup di perantauan, lebih-lebih lagi sebagai kaum minoriti dan beragama Islam: tidak langsung diberi perhatian oleh pemerintah yang mengamalkan fahaman sosialisme/kominis. Pandai-pandailah nak hidup di negeri orang: tetapi rasanya beliau ini lebih baik taraf kehidupannya jika dibandingkan dengan kehidupan mereka jika berada di Kampuchea.
Isteri dan anak-anak saya sibuk memilih kain telekong. Buatan HCM memang cantik dan murah, diperbuat dari kain jenis lembut, berenda dan sedap dipakai, begitulah komen isteri saya yang memborong kain telekong dengan harga antara 10-13USD sehelai. Hajah Bashirah dibantu oleh suaminya dan dua orang pembantu laki-laki dan wanita. Beliau sebenarnya pernah menjadi qareah di pertandingan Tilawah Al Quran peringkat Antarabangsa mewakili Kampuchea di Kuala Lumpur pada tahun 1990an. Bapanya juga seorang qare' dan pada masa ini sedang melawat Thailand untuk mengajar al Quran.
Sebaik selesai membeli belah kain telekong, kami beredar ke Ben Than Market untuk menjengok dahulu suasana di pasar ini. Saya sudah kali ke 3 ke pasar ini dan agar masak juga dengan suasana persekitarannya. Kami hanya window shopping sahaja kerana perut pun sudah mulai berkeroncong minta diisi lebih-lebih kagi setelah penat berjalan berkilometer jauhnya.
( ok, sampai disini dulu...... esok sambung makan tengahari di Restoren Halal in Sigon....)

Thursday, June 18, 2009

Bersantai Di Ho Chi Minh City(Saigon),Vietnam.

Kami terbang dengan Air Asia dari KLCC ke Bandaraya HCM/Saigon Vietnam untuk bersantai keluarga dan membeli belah. Saya anak beranak: Saya sendiri, Hjh Rahimi (isteri),Mohd.Syahrun Nizam (anak), Azni Iffah(menantu,isteri Nizam/along), Hjh.Siti Shahrun Najikha(anak) dan Siti Syahrun Nurul Ain(anak). Ada dua lagi jiran saya menumpang iaitu Hjh. Maherom dan anaknya Ana. Kami berada di HCM Citu selama 4 hari 3 malam dari 8/5/09 sehingga 11/5/09. Pergi pun atas dasar free and easy tak ikut pakage. Harga keseluruhannya tak sampai RM800 seorang dengan makan dan penginapan, kecuali beli belah. Makan pun banyak bawa dari Malaysia, bawa periuk nasi dan lauk-lauk kering ( jangan lupa bawa magie mee, biskut dan roti ). Makan di kedai/restoran halal memang sedap ( ada banyak restoran hahal di Saigon) tetapi mahal harganya. Saya berenam beranak hanya makan direstoran waktu makan tengahari sahaja, sementara waktu makan malam masak nasi di bilik dan beli lauk di kedai - sangat jimat, dan seronok. Bawa juga cerek elektrik untuk masak air panas. Bagi saya ini kali ke 3 meletakkan kaki di HCM City: pertama pada tahun 1996 bersama rombongan PSM CNS, kedua pada Februari 2009 bersama anak dan menantu: sepatutnya berempat sama isteri tetapi beliau tak dapat pergi disebabkan pembedahan perut kerana kanser rahim di Hospital Tunku Jaafar: dia masih lemah tidak berdaya. Tambang Air Asia dapat ditangguhkan sehingga bulan Mei - dan dia dah sehat sedikit serta boleh pergi bersama anak-anak: along dan isterinya pun ikut sama juga.
Sepatutnya bertolak pada pada jam 2.50 ptg 8/5/09 tetapi dilayed sehingga jam 6.50 baru bertolak - tak apalah Air Asia beritahu lebih awal jadi tak menunggu lama. Tiba di lapangan terbang Tan Sun Nyut Saigon jam 8.00 malam - sudah ada skanning untuk detact penyakit selsema Babi(H1N1). Kami terus ke Hotel Huy Hei Min di District 1, beberapa meter sahaja dari Ben Than Market yang terkenal di Saigon. Check in dan terus masuk bilik: 1 bilik 4 orang ( saya bersama isteri dan 2 anak) dan 1 bilik lagi Along bersama isterinya.
Makan malam apa yang ada: masak nasi dan makan dengan serunding dan sambal ikan bilis: sedaaaaaap........ Anak dan menantu saya terus turun ke bawah kerana di bawah hotel ada night market yang menjual berbagai-bagai item, Market ini bersambung dengan BenThan Market tidak jauh dari situ. Malam itu kami tidur lena.......
Keesokan harinya, selepas solat subuh ( awal jam 4.30 pagi dah subuh) - jarak masa ke belakang 1 jam dari Malaysia ( Kalau Malaysia jam 7.00 di HCM baru jam 6.00). Hotel ada bagi breakfast tapi hanya minuman, buah dan roti boleh di makan, yang lain saperti nasi goreng, bubur dll. tidak halal, ada nyok-nyok... Isteri saya dan anak-anak sarapan dalam bilik sahaja ( milo dan roti gardenia) . Lepas sarapan kami ke Central Post Office dan Bangunan Notre Dam di sebelahnya. Bangunan Post offoce sangat cantik, seni bina Peranchis. Ada potret Ho Chi Minh begitu besar. Ada shoping, anak-anak mula shoping beli beg tangan kulit di sini......Huh dah mula shoping dah........ (Oklah, berhenti dulu di sini, esok sambung semula).

Selamat Pengantin Baru

Pada hari ini 18 June 2009 bertempat di Royal Bintang Hotel Seremban berlangsunglah satu jamuan minum petang untuk meraikan rakan yang baru melangsungkan perkahwinan lebih kurang dua minggu yang lepas. Kami terdiri dari AJK PBPPP DS ( Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Seremban) dan isteri masing-masing meraikan rakan AJK Sdra.Idris dan isteri yang telah diijabkabulkan pada 29/05/09 lepas. Sdra Idris 68 tahun yang kematian isteri pada pertengahan tahun lepas telah memilih Pn Rosminah seorang ibu tunggal berumur 54 tahun berasal dari Batu Pahat Johor. Pn Rosminah telah kematian suami semenjak 17 tahun yang lalu dan telah mempunyai 6 orang anak dan 12 orang cucu, sementara Sdra Idris mempunyai 4 anak dan 4 cucu. Sama-sama punya cucu la, dan sudah sah ada title Dato dan Datin ori.
Majlis minum petang ( heigh tea ) bermula pada jam 3.30 petang dengan ucapan pengacara majlis Hj.Othman Senara yang mengaku-alukan para hadirin dan juga pasangan pengantin baru. Selepas itu ucapan oleh Pengerusi PBPPP DS Dato Haji Sudin bin Kamari yang menyentuh tentang peristiwa kenangan manis semasa menghantar dan mengiringi Sdra Idris berijab kabul di rumah pasangannya di Taman Bukit Mahkota, Selangor pada malam 29/05/09 yang lepas. ` oh comeh tak jadi nikah, Tok Imam lenggang kangkong macam itek pulang petang, tak bawa borang nikah...tanya pulak pehak pengantin perempuan..mana dia tahu? Itu kan tanggungjawab Tok Imam kan? Hai pander betul Imam ni....Kat Sdra Dorih(Idris ikut loghat N.Sembilan) Imam pun dari awal dah sebab dia sangka `pengantin antik' tak ramai orang antar nikah...tapi beliau terperanjat gadang bila dilihatnya begitu ramai sanak saudara dan sahabat handai di hadapan pelamin malam tu...Dia jangka 5 atau 6 orang sahaja....Tapi kalau ya pun 5 atau 6 orang je, borang nikah masih tak perlu dibawa sama ke?....Kalau orang ramai baru perlu borang?..... Ha memang berpeluh sakan imam tu...Oleh sebab Tok Imam dah tahu dia salah, akhirnya beliau bersetuju untuk menikahkan pasangan Dorih dengan Maimunah ni...Tu pun setelah kami pehak rombongan laki-laki mengatakan akan membawa balik Si Dorih ni balik semula ke Seremban malam tu jugak kalau tak jadi nikah....Dorih dah muram...hibo...Maimunah hampir menitis air mata ( agaknya dia tahan, sebab anak cucu berkerotong di kelilingnya...). Hj Othman yang kepanasan pun dah mula keluar rumah kerana gelisah...Dia takut kalau Si Dorih tak jadi nikah malam itu, dia tak boleh melancong ke Bukit Tinggi malam esok bersama rombongan PBPPP DS. Walaubagaimana pun Tuhan itu maha adil dan maha berkuasa, akhirnya Tok Imam lembut hati dinikahkan juga Si Dorih dengan Maimunah tanpa sebarang borang dan tanda tangan untuk pengesahan pernikahannya. Dia dimaklumkan untuk datang menandatangani borang-borang berkaitan pada hari Isnin....Tetapi pada hari Isnin dia berada di Bukit Tinggi berbulan madu dengan 26 lagi AJK PBPPP DS. Saya dimaklumkan petang tadi sehingga hari ini borang itu belum lagi ditandatangani. Saya takut makin lama semakin lupa, dan dia tak dapat surat dan sijil nikah. Camno tu?.... Hai golo de eh....
Setelah bacaan doa oleh Ustaz Abd.Aziz Putih maka kami pun beredar ke tempat makanan untuk menjamu selera. Berbagai makanan heigh tea - dan selepas itu barulah dipersilakan Pn Rosminah dan Dorih memberi ucapannya. Kami bersurai pada jam 5.15 petang dengan seribu kenangan bersama pengantin entik: Dorih dan Maimunah.
Selamat berjumpa buat pertama kalinya:

Saya baru sahaja memasuki blog , belum sampai seminggu dan berharap agar dapat memaparkan aktiviti-aktiviti saya di blog saya ini untuk tatapan dan makluman semua insan sejagat yang dapat akses dengan blog saya ini. Sebenarnya sudah sekian lama saya sangat berkeinginan untuk membina blog saya sendiri, setelah bertahun2 saya membaca kontent blog rakan-rakan dari seluruh dunia dalam berbagai bahasa. Saya cuba untuk memaparkan hasil nukilan saya dalam bentuk penulisan saperti rencana, pelaporan, penulisan sejarah, biodata, keluarga, dan lain-lain. Juga disertakan gambar-gambar yang berkaitan dan relevent dengan nukilan yang akan disajikan.
Sekian, buat permulaan.