Saturday, November 7, 2009

Lawatan PBPPPDS Ke Terengganu & Kelantan

Assalamualaikum w t w.

Sudah lama agak tidak membuat coretan iaitu semenjak Hari Raya Idilfitri yang lepas. Khalayak yang sudah bergelar WUE sebenarnya memerlukan lebih banyak rehat dan beridah secara berkala agar kesihatan sentiasa dalam keadaan sehat, ceria dan bertenaga. Jangan terperok sahaja di rumah selepas pencen...`` nanti cepat mati...'' kata Dr Fadilah Kamsah dalam ceramahnya.

Sehubungan dengan itu maka pada 3 - 5 November yang lepas seramai 38 ahli PBPPP Daerah Seremban telah mengadakan kunjungan santai ke pantai timur ( Terengganu & Kelantan ) untuk berlibur secara santai. Masing-masing dengan pasangan kecualinya beberapa rakan yang tidak membawa bersama pasangan oleh sebab-sebab tertentu atau pun memang dah bergelar ` ibu tunggal' atau ` bapa tunggal'. Walaubagaimana pun di saat-saat akhir salah seorang peserta iaitu Hajah Zaini Omar telah tidak dapat menyertai rombongan ini disebabkan beliau terlibat dengan kemalangan kecil semasa berjoging 2 hari sebelum itu dan dimasukkan ke ` Senawang Medical Specialist Centre' akibat pendarahan dan luka di kepala. Oleh itu hanya 37 orang sahaja yang ikut serta.

Kami bertolak dengan menaiki bas persiaran dari Taman Guru Melayu ( di hadapan surau Al Mu`allimin) seawal jam 5.30 pagi kerana pehak urusetia telah mengarahkan agar bas bertolak tepat jam 6.30 pagi. Kepada para peserta yang tinggal jauh saperti di Nilai dan Kuala Pilah sebaik-baiknya perlu bersolat Subuh di Taman Guru Melayu. Walaubagaimana pun, kita merancang, Allah s w t yang menentukannya. Bas hanya tiba pada jam 6.50 pagi dan kami bertolak pada jam 7.10 pagi. Pada peringkat awalnya bas akan pergi ke Terengganu melalui K.Pilah dan terus ke lebuhraya Keratong, tetapi dimaklumkan bahawa jalan tersebut masih ditutup akibat tanah runtuh di sebahagian jalan berhampiran Felda Chini. Oleh itu digunakan pilihan kedua ( Plan B) dengan pergi melalui Lebuhraya Seremban-KL dan Lebuhraya KL-Kuantan. Tetapi oleh kerana waktu bertolak sudah agak lewat, dan dijangkakan laluan LRR2 di lingkaran luar KL waktu itu sesak teruk, maka kami akhirnya memilih Plan C iaitu dengan melalui jalan Jelebu-Titi terus ke Karak dan menyambung perjalanan ke Lebuhraya KL-Kuantan.

Destinasi pertama kami di Terengganu ialah Tasek Kenyir. Oleh itu untuk untuk mempercepatkan perjalanan kami masuk ke Lebuhraya Jeranggau-Jabor ( laluan sebelah dalam ). Jam 1.00 tengahari kami berhenti rehat di R&R Al Muaktafi Billah untuk makan tengahari dan Solat Zohor-Asar jamak & kasar. Kami meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir dalam keadaan ceria dan excited untuk melihat Tasik Kenyir yang terkenal itu.

Kami tiba di jeti Tasik Kenyir pada jam 3.40 petang dan terus menaiki 5 buah boat laju ( 8 orang bagi setiap boat ). Pada masa itu hujan renyai-renyai sudah mulai turun. Walaubagaimana pun keadaan sekitar tasik masih lagi kelihatan cerah dan nyaman. Subhanallah..... memang menarik sekali pemandangan dilihat dari atas boat kearah daratan dan pulau-pulau yang berserakan di tasik tersebut. Tasik ini sememangnya sangat luas dengan dipenuhi oleh pulau yang menghijau dengan tumbuhan hutan dara. Semua pulau-pulau tersebut sebenarnya sebelum terbinanya tasik ini ialah kemuncak bukit dan gunung yang telah ditenggelami air setelah paras air naik akibat dari pembinaan empangan Kenyir. Boat kami terpaksa menyusuri laluan yang dalam kerana masih terdapat begitu banyak tunggul kayu dan puncak pokok yang mati tenggelam di dasar tasik. Seandainya boat dikemudi oleh orang yang tidak mahir dengan selok belok kedalaman air berkemungkinan kipas boat akan tersangkut kepada dahan pokok yang begitu banyak dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Rombongan kami terus dibawa ke kawasan rekriaksi Air Terjun Lasir. Sedia di kawasan ini adalah sekumpulan lebih dari 40 orang para pelajar yang baru selesai mengambil peperiksaan PMR 2009 yang baru lepas. Para pelajar ini terdiri dari pelajar laki-laki dan perempuan dari SMK Marang, Terengganu dan ditaja oleh JPN Terengganu. Mereka mengadakan sessi perkhemahan di kawasan ini selama 3 hari 2 malam. Selain mengadakan sessi perkhemahan dan aktiviti lasak saperti jungle tracking mereka juga merasa tinggal di atas rumah rakit yang disewa khas. Memang dapat dilihat dengan jelas akan keseronokan mereka itu berkelah dan mandi-mandi sambil memancing serta melakukan aktiviti perkhemahan.

Kami juga yang terdiri dari WUE yang sudah lanjut usia tidak ketinggalan untuk menerokai sebahagian dari kawasan air terjun tersebut. Memanjat tangga dan menyelusuri tracking turun naik tangga yang disediakan, sejauh hampir 2 km pergi balik ( menggantikan joging waktu pagi ). Kepada sesiapa yang menghidap sakit lutut atau kaki memang tidak terdaya untuk turut serta....nongok jolah ateh boat....

Oklah mohon rehat dulu nanti sambung semula......ada hal.....